MAKLUMAT MENGENAI BLOG

Blog ini akan memberi informasi mengenai Bahasa Melayu secara umumnya.
Contoh-contoh peribahasa turut dimuatkan dalam blog ini. Disamping itu juga RPH mengenai pengajaran Bahasa Melayu dan refleksinya turut disertakan. Sila klik tab pautan untuk mendapat paparan yang anda kehendaki.

Friday, December 2, 2011

PENGERTIAN PERIBAHASA

Terdapat banyak pengertian yang telah diberikan oleh sarjana-sarjana bahasa berkaitan pengertian peribahasa . Mengikut takrifan Kamus Dewan peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu , ia juga disebut sebagai bidal , pepatah atau seumpamanya.

Mengikut Kamus Fajar pula , peribahasa ialah patah-patah kata , rangkai kata atau ayat yang telah sedia tersusun tetap dengan maksud tertentu. Za’ba dalam bukunya Ilmu Mengarang Melayu mentakrifkan peribahasa sebagai susunan cakap pendek atau ringkas yang telah melekat dimulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab ianya menarik didengar , penggunaan perkataan yang bijak dan mempunyai maksud yang luas. Beliau juga telah menyatakan bahawa bidalan , pepatah , perbilangan dan perumpamaan mempunyai maksud yang sama dengan peribahasa. Ini kerana semuanya mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu percakapan bijaksana dan ringkas yang merupakan warisan dari zaman dahulu yang meniti dimulut orang-orang dulu hingga kini , kadang-kadang ianya dikenali sebagai “perkataan orang tua-tua” sahaja.

Manakala menurut Ghazali Dunia dalam bukunya Langgam Sastera Lama ( Kuala Lumpur ; Oxford University Press, 1969 ) menyatakan bahawa peribahasa ialah bentuk pengucapan yang banyak kita jumpai dalam kesusasteraan lama, sebagai wakil cara berfikir bangsa kita pada zaman itu .

Mohd. Adnan Mohd Ariffin telah membuat kesimpulan dari pengertian peribahasa yang telah diberikan oleh Ghazali Dunia di atas dapat diterima sebagai satu fakta , tetapi tidak seharusnya ditafsirkan secara berlebihan sehingga mungkin ada orang yang beranggapan bahawa peribahasa hanya milik sastera lama dan sekaligus milik masyarakat zaman lampau saja . Dengan itu mungkin generasi muda akan memandang remeh terhadap peribahasa dan tidak menganggapnya sebagai satu ciri kekuatan pengucapan dalam pertuturan dan penulisan.

Kesimpulannya , walaupun terdapat banyak pengertian peribahasa yang telah diutarakan namun ianya hanya merujuk kepada satu makna, iaitu salah satu daripada warisan generasi lampau yang merupakan salah satu seni percakapan yamg popular di kalangan masyarakat melayu. Penggunaann peribahasa ini telah menjadi salah satu daripada ragam bahasa yang terkandung di dalam pengajian Bahasa Melayu. Namun yang pasti, ianya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

0 comments:

Post a Comment